Khamis, Mac 24, 2011

MENUJU PERLIS MAJU 2015

Oleh: Hirwan Jasbir Bin Jaafar


Tahun 2020 merupakan tahun sasaran yang telah diletakkan oleh Kerajaan Malaysia untuk mencapai tahap sebagai sebuah negara maju. Mengikut Pertubuhan Bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), untuk menjadikan sesebuah negara itu diiktiraf sebagai sebuah negara maju, terdapat lima aspek penting meliputi ekonomi, sosial, infrastruktur, alam sekitar dan pentadbiran perlu dipenuhi. Lima aspek penting itu meliputi 32 indikator yang melebihi sasaran terendah yang telah ditetapkan oleh OECD.

Perlis Maju 2015 menjadi wawasan utama kepada Kerajaan Negeri Perlis bagi memastikan negeri Perlis menjadi salah sebuah negeri maju di Malaysia. Mengapa negeri Perlis beria-ia menjadi salah sebuah negeri maju di Malaysia. Jawapannya adalah bagi memastikan menjelang tahun 2020, negeri Perlis tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara dan menjadi negeri terpinggir di Malaysia. Justeru adalah menjadi tugas utama kepada Kerajaan Negeri Perlis bagi merangka dasar dan polisi untuk menjadikan negeri Perlis sebagai salah sebuah negeri maju di Malaysia menjelang 2020.

Wawasan Perlis Maju 2015 telah diumumkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2005. Berbagai aspek pembangunan telah dirangka bagi merialisasikan hasrat menjadi sebuah negeri maju. Namun persoalan timbul dikalangan masyarakat berkenaan dasar dan polisi yang diatur dalam usaha kerajaan merialisasikan wawasan yang telah ditetapkan. Sasaran ‘Perlis Maju 2015′ terus menjadi satu persoalan di kalangan rakyat di negeri ini. Pada 14 Disember 2010 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Perlis baru-baru ini, tajuk ini terus mendapat perhatian para Wakil Rakyat. YB Khairi Hassan (BN-Mata Ayer) telah mengemukakan soalan lisan berkaitan perancangan untuk merealisasikan ‘Perlis Maju 2015′. Sementara itu, YB Rus’sele Eizan (PAS-Simpang Empat) dalam ucapannnya membahaskan Bajet 2011 turut menyeru Kerajaan Negeri untuk meletakkan sektor utama sebagai teras ‘Perlis Maju 2015′.

Persoalan-persoalan yang ditimbulkan ini menyebabkan perlunya satu kajian yang menyeluruh dilakukan terhadap penerimaan dan kefahaman masyarakat di negeri Perlis terhadap Wawasan Perlis maju tahun 2015. Keperluan ini menjadi aspek utama kepada usaha tercapainya sasaran maju pada tahun 2015. Tanpa kefahaman dan sokongan dari masyarakat, mana mungkin Kerajaan Negeri dapat melaksanakan segala perancangan yang telah dirangka bagi merialisasikan usaha menjadi negeri maju.

Tiada ulasan: