Selasa, Mei 18, 2010

Sekitar sambutan Hari Keluarga Unit Kajian Strategik

Pada 15 hingga 16 Mei 2010 yang lalu bertempat di Rasa Sayang Resort, Sungai Petani Kedah, telah dianjurkan hari keluarga Unit Kajian Strategik yang julung kalinya diadakan. Tujuan utama program ini adalah untuk merapatkan hubungan sesama kakitangan UKS dan keluarga untuk saling berkenalan dan juga bermesra. Program ini bermula pada jam 2.00 petang pada 15 Mei 2010 bertempat di Ampang Bowl, Sungai Petani iaitu pertandingan boling. Pertandingan ini melibatkan 4 kumpulan dan setiap kumpulan akan bercampur diantara ahli keluarga dan kakitangan UKS melalui sistem cabutan undian. Kumpulan yang memenangi pertandingan ini adalah kumpulan yang diketuai oleh Encik Raja Shah Erman iaitu kumpulan 2. Dari segi kejuaraan individu pula telah dirangkul oleh Encik Hirwan Jasbir bin Jaafar.
Selesai pertandingan boling ini semua kakitangan UKS dan ahli keluarga masing-masing bergerak ke tempat penginapan di Rasa Sayang Resort. Pada jam 6.30 petang kesemua ahli keluarga UKS bertolak ke Pulau Sayak untuk menikmati jamuan makan malam. Selesai jamuan makan malam, kami semua pulang ke resort untuk menyertai satu lagi pertandingan iaitu pertandingan karaoke. Selesai pertandingan karaoke, sesi penyampaian hadiah dijalankan kepada pemenang untuk acara boling dan juga karaoke.
Keesokannya kami semua bertolak ke taman tema air The Carnival  berhampiran resort dan menghabiskan masa disitu bersama ahli keluarga masing-masing. Selesai kami semua menikmati makan tengahari di The Village Mall Sungai Petani sebelum bertolak pulang ke Perlis jam 3.00 petang 16 Mei 2010.
Diharapkan program tahunan seperti ini akan dapat diadakan lagi pada masa yang akan datang. Ini adalah penting untuk mengukuhkan ikatan sesama kakitangan UKS dan juga memupuk semangat kekeluargaan yang lebih erat.